Rabu, 4 Ogos 2010

Secebis Tulisan Sempena Sambutan Adau Janang Gayuh.

Sambutan Adau Janang Gayuh telah pun berakhir, setelah hampir seminggu melebarkan sayap meraikan semua warga bisaya akhirnya menyisipkan kembali sayap gagahnya untuk dilebarkan kembali pada tahun akan datang,ini merupakan satu pencapaian terbaik yang telah dicapai oleh PBBS setelah hampir berusia 33 tahun, 33 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat bahkan jika PBBS ini seorang manusia tempoh ini sudah dapat dikatakan sebagai tempoh alam kedewasaan.

Setinggi-tinggi ucapan Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan dan merealisasikan sambutan adau janang gayuh bagi tahun 2010. Pelbagai cerita suka duka boleh dikongsikan pada sambutan kali ini, salah satu pencapaian yang boleh warga bisaya banggakan melalui sambutan adau janang gayuh tahun ini adalah berikutan pengumuman YB Dato Seri Pairin yang mana Persatuan terbesar di Sabah KDCA telah meluluskan PBBS menjadi ahli gabungannya dalam membentuk pakatan bagi menjaga kebudayaan kaum yang berada di Sabah,

Disaat ini juga warga bisaya telah menyaksikan pelancaran Skuad Muda yang telah disempurnakan pelancaranya oleh YB Dato Seri Pairin sendiri,dengan keahlian yang telah hampir mencecah 500 orang diharapkan Skuad Muda ini dapat menyusun pelbagai aktiviti yang membawa kepada kemashalatan belia-beliawanis bisaya agar dapat dipelihara keperibadian,kebudayaan dan keakhlakkan bagi memartabatkan warisan turun temurun. Saya sendiri sebagai seorang belia amat berharap agar Skuad Muda ini tidak akan menjadi seperti kawah yang hanya diguna apabila ada majlis-majlis besar seperti kenduri kahwin atau majlis yang seumpamanya ataupun menjadi seperti peribahasa ada penukul baru pahat berbunyi ,maknanya kita tidak mahu Skuad Muda seperti sekejap timbul sekejap tenggelam atau Nampak kelibatnya apabila ada program besar sahaja seperti sambutan adau janang gayuh tapi yang kita mahu skuad muda sentiasa terserlah keaktifanya dalam melahirkan belia-beliawanis bisaya yang berkarisma.

Hakikatnya, PBBS perlu terus berdiri megah,bukan untuk 1 atau 2 tahun tapi untuk satu jangka masa yang lebih lama. Apa yang dirancang dan dicita-citakan seharusnya dilaksanakan kerana kita perlu menunjukan kebolehan yang kita miliki dalam mengadakan sambutan Adau Janang Gayuh sehebat dengan sambutan kaum lain yang ada di Sabah, kerana itulah pengumuman YB DSP Dr. Hj. Lajim bahawa Sambutan Adau Janang Gayuh ini akan menjadi acara tahunan mulai tahun depan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sabah adalah satu pengumuman yang mengembirakan hati setiap warga bisaya mana tidaknya kerana kita tidak mahu lagi suatu saat nanti perayaan ini akan berkubur setelah persaraan YB DSP Janang Gayuh,sebagai mana kita terlepas pandang kepada Pesta Rumbia yang akhirnya menjadi milik warga Dusun Tatanah Kuala Penyu yang sepatutnya menjadi milik kita kerana rumbia atau sagu lebih sinonim dengan warga bisaya. Disamping itu juga diharapkan selain PBBS menumpukan kepada acara sambutan Adau Janang Gayuh adalah diharapkan PBBS dapat melaksanakan aktiviti atau program lain yang berbentuk pendidikan agar kita tidak dianggap sebagai kaum yang kuat semangat kePestaanya,mungkin juga PBBS boleh melaksanakan Aktivit seperti diadakan Piala Janang Gayuh bagi acara pidato,puisi, menulis novel atau esei,tilawah Al-Quran atau pertandingan yang seumpamanya bagi melahirkan anak-anak bisaya yang kreatif, berbakat dan serba boleh.

Sememangnya pelbagai warna warni menghiasi sambutan Adau Janang Gayuh pada tahun ini, terutama sekali saya melihat sambutan tahun ini ada sedikit hambar apabila sambutan ini telah bertembung dengan sambutan komuniti bestari yang berlangsung di Pekan Beaufort yang mengakibatkan tumpuan berkurangan pada Sambutan Adau Janang Gayuh yang berlangsung di Sk. Kg Lupak sehinggakan gerai pameran jabatan kurang penyertaan yang mengakibatkan banyak kanopi yang dikhaskan untuk pameran jabatan kosong yang boleh mencacatkan pemandangan mata, saya sempat juga berbual dengan beberapa orang yang hadir salah seorang dari mereka amat menarik perhatian apabila menyimpulkan perlanggaran keadaan yang berlaku ini disebabkan oleh pengaruh politik, beliau berkata mungkin ada pihak yang tidak senang melihat sambutan Adau Janang Gayuh dilaksanakan jauh dari Pekan Beaufort kerana menyukarkan mereka untuk datang meraikannya maka diadakanlah sambutan yang lain bagi menyenangkan hati mereka,begitulah pendapat beliau saya tidak juga mengiyakan ataupun menidakkan pendapat beliau kerana itu hanyalah sekadar pendapat ataupun apa yang difikirkannya. Pada pendapat saya,meriah atau tidak itulah yang mampu kita lakukan maknanya untuk tahun hadapan kita lebih perlu bersedia dengan teliti agar kesilapan yang berlaku pada sambutan tahun ini tidak akan berulang lagi.

Acara-acara yang direncanakan pada tahun ini juga,kebanyakkan adalah acara yang sememangnya menjadi kebiasaan bagi Sambutan Adau Janang Gayuh,sukan rakyat yang dianjurkan sememangnya memeriahkan suasana,tetapi satu acara yang amat menarik hati saya sendiri ianya adanya acara Ratu Dang Insum bagi kanak-kanak biarpun saya sendiri tidak dapat melihat acara tersebut dipertandingkan namum ianya menarik perhatian saya sehinggakan sampai ke tahap berfikir sendiri mencari jawapan. Bukan memikirkan tentang acara tersebut tetapi memikirkan tentang nama Dang Insum itu sendiri,mungkin bagi anak-anak baru ramai juga yang tertanya-tanya siapa Dang Insum yang sebenarnya itu,bukannya saya tidak mengetahui siapa Dang Insum tersebut tetapi maklumat tentangnya amat sedikit yang saya ketahui,yang mana mengikut cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh orang lama bahawa Dang Insum itu adalah seorang Srikandi Bisaya yang berani menentang penjajah,seandainya cerita itu benar sudah menjadi tanggungjawab PBBS untuk menghighlightkan kisah terperinci Srikandi Dang Insum kepada umum sebaris dengan kisah mahsuri ataupun Tun Teja. Adalah menjadi satu kebanggaan warga bisaya mempunyai seorang Srikandi yang berani dan berjiwa waja seperti Dan Insum, diharapkan juga seandainya Dang Insum ini benar-benar wujud kita boleh berusaha mencari susur galurnya pada masa kini.

Mata telah pun mengantuk,jari pun semakin lemah menekan keypad computer,keputusan acara tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa telahpun diketahui,apa sekalipun bagaimana kita merancang begitulah yang akan terjadi,setiap kekurangan itu menandakan kita sebagai hamba Allah tidak akan terlepas dari kekhilafan,sesungguhnya sambutan Adau Janang Gayuh pada tahun ini boleh kita banggakan,kerana ianya menyaksikan hasil kerja barisan kepimpinan PBBS yang baru pada pemilihan yang lalu. Pada sambutan ini juga kita menyaksikan perpaduan dikalangan warga Bisaya bagi menjayakan Sambutan ini,sesungguhnya melalui perpaduan inilah kita dapat menjadikan kaum kita sebagai kaum yang seiring dengan kaum-kaum yang ada di Sabah ini. Setinggi – tinggi ucapan Tahniah juga saya ucapkan kepada saudara Razali Abd Rahim yang telah mengharumkan nama Bisaya apabila merangkul 3 pingat emas melalui seni kulintangan di peringkat antarabangsa di Los Angeles baru-baru ini, satu pencapaian yang sangat membanggakan kita selaku warga bisaya. Cukup setakat ini,seandainya ada ruang dan waktu saya akan menulis lagi pada masa akan datang,kita mahu melahirkan masyarakat bisaya yang berjiwa besar,yakin dengan diri sendiri, bangga dengan apa yang kita miliki dan sentiasa menjunjung kebudayaan adat resam sebagai warga bisaya. Oleh itu, penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan dan kelemahan yang kita ada semoga dengan itu nanti kita akan menjadi masyarakat yang dikenali dan dihormati di persada yang lebih tinggi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails